KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) memperkenalkan Bantuan IKHLAS Supreme Takaful yang boleh didapatkan bermula 1 Julai 2021.

Ia merupakan pelan perlindungan komprehensif bagi peserta yang menyertai pelan IKHLAS Comprehensive Private Car Takaful dan IKHLAS Private Car Comprehensive Plus Takaful.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eddy Azly Abidin berkata, pelan itu akan merangkumi faedah komprehensif termasuk manfaat kemalangan, program bantuan kereta dan elaun kesulitan dengan sumbangan berpatutan dari takaful.

“Dengan sumbangan takaful yang sangat berpatutan, seseorang individu boleh menikmati pelbagai manfaat sebagai pelengkap kepada perlindungan takaful motor yang disediakan oleh Takaful IKHLAS.

“Terdapat empat pelan pilihan dan peserta boleh memilih untuk menyertai pelan Silver, Gold, Platinum atau Premium berdasarkan keperluan dan kemampuan peserta,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Eddy menambah, pelan tersebut juga menyediakan perlindungan manfaat kemalangan diri bagi pemandu dan penumpang meliputi perbelanjaan perubatan dan hospital.

“Sekiranya berlaku kematian atau hilang keupayaan kekal akibat kemalangan pula, penuntut atau waris akan menerima manfaat kemalangan diri sehingga RM100,000 dan manfaat digandakan sehingga RM200,000 sekiranya kemalangan berlaku ketika cuti umum Malaysia.

“Bantuan IKHLAS Supreme Takaful ini turut menyediakan Program Bantuan IKHLAS Road Assist yang merangkumi perkhidmatan bantuan tunda 24 jam tanpa had akibat kemalangan dan kerosakan di jalan raya, perbelanjaan teksi, penginapan hotel serta manfaat kemalangan diri 24 jam di seluruh dunia,” katanya

Sementara itu, terdapat juga elaun kesulitan seperti bantuan kad kredit Islamik, bantuan pembiayaan pinjaman kereta Islamik, elaun untuk kerosakan atau kehilangan kereta.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.takaful-ikhlas.com.my atau melalui semua cawangan, ejen berdaftar atau e-mel kepada salamikhlas@takaful-ikhlas.com.my.