KUALA LUMPUR: Industri takaful mencatatkan pertumbuhan sebanyak 18 peratus dan sumbangan bersih 23 peratus dalam bahagian pasaran, mencerminkan pertumbuhan kukuh industri itu pada 2022, kata Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata industri itu menyaksikan kenaikan dalam permintaan produk takaful kerana semakin ramai rakyat Malaysia menyedari kepentingan perlindungan diri dan keluarga mereka daripada risiko kewangan.

"Pertumbuhan positif industri ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor seperti populariti produk takaful yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna, pengenalan produk inovatif baharu dan penggunaan teknologi digital yang telah menambah baik penyampaian perkhidmatan," katanya semasa majlis berbuka puasa MTA-Media, yang turut diselitkan dengan pengumuman prestasi industri itu di Kuala Lumpur Golf Country Club (KLGCC), pada Rabu.

MTA dalam satu kenyataan berkata, sumbangan kasar bagi takaful keluarga serta takaful am melonjak masing-masing pada 18.3 peratus dan 21.2 peratus.

"Takaful keluarga mencapai kadar penembusan sebanyak 20.1 peratus pada 2022 berbanding 18.6 peratus pada tahun sebelumnya berdasarkan bilangan sijil yang berkuat kuasa terhadap jumlah penduduk Malaysia.

"Jumlah sijil yang berkuat kuasa pada 2022 menokok kepada 6.63 juta sijil berbanding 6.07 juta pada 2021 dan sejajar dengan itu, sejumlah 1.31 juta sijil perniagaan baharu dikeluarkan pada 2022, naik 15.6 peratus berbanding hanya 1.14 juta sijil yang disaksikan semasa 2021," katanya.

Sumbangan kasar jumlah perniagaan yang berkuat kuasa ialah RM8.34 bilion pada 2022, berbanding RM7.42 bilion pada 2021, kata MTA.

"Pada 2022, perniagaan takaful am mencatatkan sumbangan langsung kasar sebanyak RM4.64 bilion dengan perniagaan takaful motor menyumbang RM3.07 bilion dan perniagaan takaful kebakaran sebanyak RM0.84 bilion.

Ini adalah peningkatan masing-masing sebanyak 21.1 peratus, 20.7 peratus dan 23.5 peratus daripada prestasi mereka pada 2021," katanya.

Bagi 2022, industri takaful membayar sejumlah RM7.02 bilion dalam tuntutan bersih, naik 25.9 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM5.58 bilion.

MTA mengharapkan industri Takaful dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2023, walaupun pada kadar yang sederhana, memandangkan negara masih berada dalam fasa pemulihan pandemik.

"Industri ini tetap komited untuk menyediakan perlindungan Takaful yang mudah diakses dan berpatutan kepada semua rakyat Malaysia, sebagai antara usaha bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara," katanya lagi. - BERNAMA