Ringkasan AI
- Keluarga Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, remaja yang maut akibat renjatan elektrik semasa mengecas telefon dalam bas ekspres, menerima ketentuan takdir meskipun masih bersedih.
- Keluarga arwah berharap syarikat bas lebih berhati-hati dalam penyelenggaraan untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
- Jenazah Mohamad Nur Asymawi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Puyu selepas Asar semalam.
Salmiah Humzah, 82, nenek kepada Allahyarham Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, berkata meskipun masih bersedih, namun dia sekeluarga menerima ketentuan takdir yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu.
Bagaimanapun, katanya, pihak keluarga berharap syarikat bas berkenaan lebih berhati-hati dalam aspek penyelenggaraan bas agar kejadian sama tidak berulang.
'Kita tak mahu perbesarkan isu ini, namun jika boleh kejadian ini dijadikan iktibar untuk semua pihak, termasuk syarikat bas agar kejadian sama tidak berlaku lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mesra, Bagan Lalang, hari ini.
Salmiah berkata kali terakhir dia bertemu cucunya itu pada Jumaat dan tidak menyangka kata-kata mahu 'berjalan jauh' menjadi gurauan terakhir arwah sewaktu keluar dari rumah sebelum kejadian.
"Bila kami tanya mahu ke mana, arwah beritahu mahu berjalan jauh. Kami semua anggap ia kata-kata biasa kerana arwah yang mesra dengan ahli keluarga memang suka bergurau.
"Tapi tak sangka jam 9 malam, sepupu perempuan arwah beritahu dia sudah meninggal dunia," katanya sebak.
Bercerita lanjut, Salmiah berkata, cucunya yang baru tiga bulan bekerja di restoran makanan segera berdekatan kawasan rumah merupakan seorang yang mudah mesra, baik, dan disenangi keluarga dan jiran.
Jenazah Mohamad Nur Asymawi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Puyu selepas Asar semalam.
Dalam kejadian pada Jumaat, media melaporkan kejadian seorang remaja lelaki maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon di dalam sebuah bas ekspres di Terminal bas Penang Sentral di Butterworth.
Kejadian berlaku sewaktu mangsa, Mohamad Nur Asymawi menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Susulan kejadian, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan pasukan petugas khas (special taskforce) dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit.