SHAH ALAM: Institusi Tahfiz Persendirian (ITP) di negeri ini diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) bagi melayakkan menyertai Program Pemutihan Sekolah Agama ITP Negeri Selangor.


Ringkasan AI
  • Institusi Tahfiz Persendirian (ITP) di Selangor perlu mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) untuk menyertai Program Pemutihan Sekolah Agama ITP Negeri Selangor.
  • Program pemutihan melibatkan ITP yang beroperasi hingga 31 Disember 2023, dengan 724 ITP yang belum berdaftar hingga 31 Mac lepas.
  • Tempoh kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT) bagi ITP yang berdaftar adalah minimum tiga tahun, dengan tujuan memberi peluang kepada PBT untuk melaksanakan perancangan semula kawasan dan memberi ruang kepada pengusaha atau tuan tanah untuk menjalankan aktiviti bersifat sementara.


Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata skop pemutihan itu akan hanya melibatkan ITP yang telah dibina dan beroperasi hingga 31 Dis 2023, dengan setakat 31 Mac lepas, sebanyak 724 ITP masih belum berdaftar.

"Program pemutihan ini akan diselaraskan PITAS yang bertindak sebagai agensi sehenti untuk menyelaras penyediaan dokumentasi permohonan pemutihan dikemukakan ITP dan menerima semua dokumen yang disediakan ITP untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan kelulusan Kebenaran Merancang Tempoh Terhad (KMTT).

"Tempoh kelulusan KMTT bagi tujuan pemutihan tahfiz persendirian ini adalah minimum tiga tahun dari tarikh kelulusan KMTT diberikan oleh PBT sebelum PITAS mengemukakan permohonan KMTT daripada ITP yang berdaftar kepada PBT, hanya hingga 31 Dis 2025," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pelaksanaan KMTT bertujuan memberi peluang kepada PBT melaksanakan perancangan semula sesuatu kawasan di samping memberi ruang kepada pengusaha ataupun tuan tanah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti berdasarkan tempoh masa yang telah ditetapkan.

Menurut Mohammad Fahmi ia juga memberi peluang kepada pengusaha atau tuan tanah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang bersifat sementara di atas lot tanah, iaitu zon perancangan guna tanah yang ditetapkan di dalam Rancangan Pemajuan adalah tidak selaras.

"Pemberian KMTT akan membolehkan PBT untuk mengenakan fi yang sesuai terhadap pembangunan bersifat sementara dan pada masa yang sama, perancangan serta pembangunan bagi sesuatu kawasan dapat dikawal bagi suatu tempoh ditetapkan.

"Pelaksanaan KMTT juga memberi peluang kepada pengusaha dan PBT melalui kaedah perundingan iaitu KMTT antara pengusaha atau tuan tanah dengan PBT," katanya.

Mohammad Fahmi berkata dalam tempoh KMTT, ITP perlu mematuhi syarat-syarat kelulusan yang diberikan oleh PBT dan ketidakpatuhan akan membolehkan PBT menamatkan KMTT pada bila-bila masa.

"Sebaliknya, bagi ITP yang memenuhi syarat KMTT, ia layak dipertimbangkan untuk Permohonan Kebenaran Merancang Penuh kepada PBT, atau sebagai justifikasi kepada pelanjutan tempoh KMTT sekiranya dimohon oleh pengusaha tahfiz," katanya.

-- BERNAMA