Menerusi video amaran yang dikeluarkan di akaun Facebook mereka, kumpulan penggodam itu menyifatkan keselamatan siber negara berada di tahap rendah selain berisiko berlakunya kebocoran data.
Video berdurasi lebih 2 minit itu turut mengimbas semula kejadian kebocoran data syarikat telekomunikasi pada 2017 yang melibatkan sebanyak 46 juta nombor telefon bimbit pengguna di Malaysia.
Malah, peningkatan kes berkait serangan siber baru-baru ini termasuk yang melibatkan portal web Angkatan Tentera Malaysia sebagai asas dakwaan mereka.
BACA: ATM sahkan portal rasmi digodam
Justeru, mereka menyalahkan kerajaan yang didakwa tidak menyokong para pembangun teknologi maklumat.
Jelas individu itu, pembangun dikatakan tidak membuat pemilikan atas kod yang dibina dan tidak memiliki keinginan bagi membetulkan kesilapan serta terus kekal dengan situasi tersebut.
Kali terakhir kumpulan tersebut muncul adalah pada tahun 2015 bagi menyatakan sokongan kepada gerakan Bersih 4.0 dan mengancam untuk melancarkan serangan siber kepada kerajaan sekiranya Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meletakkan jawatan.
Astro AWANI sedang mendapatkan reaksi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berhubung dakwaan tersebut.