Tahanan reman terhadap pelakon dan pengarah berpangkat Datuk dilanjutkan sehari bermula hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Pelakon yang memakai kemeja biru denim kelihatan tenang di bawa masuk jam 11.30 pagi dan keluar sejam kemudian.

Terdahulu, pelakon itu direman bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana mengganggu tugas penjawat awam.

Aktor itu turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 90a Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.

Khamis lalu, sekeping gambar bergari aktor itu tersebar di media sosial dipercayai ditahan kerana menampar polis dan menendang orang awam di balai polis.