"Cukuplah apa yang telah saya rasa selama ini, saya dihina, dicaci, dibuang kerja dan dihalau kerana tiada duit dan tempat tinggal,” begitu sekali luahan Riz (bukan nama sebenar) saat ditemui penulis baru-baru ini di ibu negara.
Begitupun, lelaki itu mengakui bahawa segala yang berlaku bukan salah bekas isterinya, Ain (bukan nama sebenar). Cuma di hati kecilnya, dia tidak tahu kenapa Ain perlu bersikap sekejam itu.
Riz, 36 tahun, bersama dua orang anaknya Lukman dan Hakim, yang masing-masing berusia 6 dan 4 tahun sudah biasa menghuni kaki lima di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur. Itulah tempat mereka berteduh sejak dua tahun lalu selepas rumahtangganya bergolak.
Menurutnya, perubahan sikap dan perasaan secara tiba-tiba bekas isterinya sedikit sebanyak menyumbang kepada kejatuhannya.
"Jaga anak-anak dan bagi makan adalah tanggungjawab saya sebagai bapa dan jika masih bergelar suami pun saya akan jalankan tangungjawab itu.
"Tetapi untuk bekerja dengan gaji yang tak seberapa dan terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil, adalah satu perkara mustahil.
"Bayar penjaga sahaja sudah beratus-ratus ringgit dan akhirnya saya kehilangan pekerjaan kerana membawa anak ke tempat kerja,” dakwa Riz yang pernah bekerja sebagai tukang masak di Johor Bahru.
Jelas Riz, segalanya berlaku begitu pantas selepas kekeruhan rumahtangga bermula.
Setelah bersama sebagai keluarga selama enam tahun, rumahtangga yang dibina mereka akhirnya musnah kerana diuji kesenangan dan kemewahan.
"Tahun 2015, dia (bekas isterinya) meminta kebenaran untuk bekerja dengan alasan sudah tidak tahan hidup susah dengan hanya bergantung pada pendapatan saya.
"Mendengarkan keluhan isteri sebegitu, saya bagai ditampar kerana menyangka selama ini dia bahagia bersama saya sebab saya fikir saya telah melakukan yang terbaik dan dia selesa.
"Rumah sewa saya bayar, dan makanan harian tidak pernah putus sejak hari pertama saya menikahi dia,” kata Riz dalam nada sedikit terketar.
Katanya, bekas isterinya itu sebelum ini tidak pernah bekerja dan tidak merungut mengenai kesusahan yang dihadapi kerana mereka berasal daripada keluarga yang miskin.
Riz menganggap semuanya akan berjalan seperti biasa, walau dalam serba kekurangan.
"Itu hanya fantasi saya sahaja, tidak semua orang sanggup hidup susah.
"Tanggapan mengatakan orang susah akan tahu membiasakan diri apabila susah adalah dongeng semata-mata.
"Buktinya, dia berubah tidak sampai sebulan selepas mendapat perkerjaan,” luah Riz kesal.
Abai tanggungjawab
Menurut Riz perubahan sikap yang ditunjukkan bekas isterinya begitu ketara apabila mula pulang lewat dan berkerja pada hujung minggu atas alasan kerja lebih masa demi mencari duit lebih.
Bekas isterinya mulai menunjukkan sikap pemarah terhadap anak-anak yang masih kecil ketika itu.
"Tetapi itu bukan kemuncak segalanya.
"Tidak lama selepas itu, dia meminta kebenaran untuk keluar dari rumah untuk tinggal berhampiran dengan pejabat dia bekerja.
"Alasan berbeza yang saya terima,” kata Riz.
Lelaki yang meluahkan emosi terbuku dalam diri ini tiba-tiba terdiam seketika, seolah-olah ayat yang seterusnya hendak diungkapkan terlalu perit buatnya.
"Kali ini lebih dalam, hingga tergamak dia mengeluarkan kata-kata yang dia tidak lagi mahu menjaga dan tinggal bersama kami.
“Kerana katanya, dengan ada anak-anak akan mengganggu perjalanan pekerjaannya dan menyusahkan hidupnya,” jelas Riz sambil memerhatikan anak-anaknya yang bermain di kaki lima di Jalan Pahang.
Riz akhirnya tunduk dengan kehendak dan pilihan Ain. Menurutnya, sebagai manusia, dia tiada upaya menghalang kerana sudah jelas terlihat di matanya bahawa antara mereka tiada lagi kasih sayang.
Menurutnya selepas insiden itu, bekas isterinya itu ada mengirimkan duit untuk beberapa bulan sebelum mereka terputus hubungan.
“Selama setahun saya usahakan untuk mempertemukan dia dan anak-anak.
“Tapi memang sudah tersurat buat anak-anak, bahawa mereka tidak lagi punya peluang untuk melihat ibu mereka,” ungkapnya sayu.
Menurut Riz, dia juga beberapa kali bertukar pekerjaan untuk melaraskan waktu untuk menjaga anak-anaknya. Namun, setiap kali itulah juga kesulitan terjadi hingga menjejaskan harapannya.
Dalam menuju pengakhiran sesi luahan hati bersama penulis, Riz membuka satu lagi lapis rahsia. Menurut Riz, ia berkaitan dengan satu mesej dalam telefon bimbit Ain yang secara sembunyi dapat diketahuinya.
Menghela nafas tersekat, Riz memberitahu: “Terdapat satu pesanan ringkas yang berbunyi: ‘Jika Ain mahu kehidupan lebih baik, tinggalkan suami dan anak-anak’.”
“Sekejam itukah dunia ni? Saya tidak minta untuk kebahagiaan saya, tetapi untuk mereka,” sambil menuding jari ke arah anak-anaknya.
Sejak detik itu, Riz dan anak-anaknya terpaksa melalui beberapa episod susah perit bersama hingga tinggal kaki-kaki lima, masjid dan surau dan menagih simpati orang ramai.
* Ikuti kisah penuh berliku Riz dan dua orang anaknya bagi mencari sinar kehidupan baharu dalam program Syah Kaki Lima (Episod 31) di AstroAwani.com.my