MUAR: Suspek utama dipercayai membunuh ibu dan bapa serta anak saudaranya sebelum membakar rumah mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini pada 10 Ogos lalu, akan dituduh di mahkamah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan suspek berusia 48 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Muar.

Difahamkan, lelaki berusia 48 tahun itu akan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Suspek juga akan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

Pada Rabu lalu, suspek yang diburu selama lima hari ditahan ketika merayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Muar.

Suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditunggangnya di Hentian Bas Bentayan di sini sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasek Selatan.

Sinar Harian pada 9 Ogos lalu melaporkan, tiga sekeluarga maut apabila rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Sekolah, Kampung Paya Redan, Pagoh di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sepasang suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka maut manakala seorang lagi cucu cedera.

Mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abdul Hamid, 76.

Cucu kepada pasangan berkenaan, Noradriana, 11, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Kejadian itu turut menyebabkan, Norazima Mohd Radhi, 14, patah tangan dan cedera di kepala disyaki dipukul.

Jenazah Mohamed Nor dan Ara masing-masing dikebumikan dalam satu liang lahad bersebelahan pusara cucu dan anaknya, Nurul Armiza, Jumaat lalu. - Sinar Harian