JASIN: Suspek keempat kes tetak dan bunuh seorang lelaki di sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, Ahad lepas direman tujuh hari bermula hari ini hingga 2 Sept depan.


Ringkasan AI
  • Suspek keempat kes tetak dan bunuh di Taman Rim Baru direman tujuh hari bermula hari ini hingga 2 September.
  • Mangsa, seorang lelaki berusia 24 tahun, maut selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di hadapan kedai gunting rambut. Adik mangsa berjaya menyelamatkan diri walaupun turut dikejar penjenayah.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Majistret Mazana Sinin membenarkan permohonan reman berkenaan selepas suspek lelaki berusia 21 tahun itu ditahan semalam.

Semalam, akhbar melaporkan seorang lelaki maut selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi dilaporkan berkata dalam kejadian 8.39 malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang cedera sempat menghubungi adik lelakinya berusia 22 tahun untuk membawanya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Beliau dipetik sebagai berkata mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 10.15 malam tadi ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan manakala adiknya turut dikejar kumpulan penjenayah berkenaan namun berjaya menyelamatkan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA