Dua suspek yang ditahan kerana didakwa meletakkan alat letupan di tepi jalan berhampiran ibu pejabat Polis Diraja Thailand di Jalan Rama I beberapa hari lepas, didapati pernah melawat Malaysia beberapa kali sebelum ini.

Ketua Biro Imigresen Thailand Lt Jen Polis Sompong Chingduang berkata rekod perjalanan serta rakaman kamera keselamatan di pusat pemeriksaan Imigresen di Narathiwat menunjukkan kedua-dua suspek dari Narathiwat itu pernah melintasi sempadan.

"Kami sudah temui rekod perjalanan suspek, dan juga rakaman video yang menunjukkan wajah mereka dengan jelas," katanya kepada media di sini.

Kedua-dua suspek ditahan di Chumphon, Jumaat, kerana disyaki meletakkan alat letupan berdekatan dengan ibu pejabat Polis Diraja Thailand, namun bom itu berjaya dimatikan sebelum meletup.

Dalam kejadian Jumat lepas, beberapa siri letupan di lima lokasi di ibu kota Bangkok mengakibatkan empat orang tercedera.

Kedua-dua lelaki itu ditahan selama tujuh hari di bawah Undang-undang Darurat Thailand bagi membantu siasatan.

Sompong bagaimanapun enggan mendedahkan butir-butir lanjut perjalanan kedua-dua suspek itu, atau sekiranya masih ada suspek yang mengiringi kedu-dua lelaki itu, yang sedang dicari pihak berkuasa.

Katanya Ketua Polis Diraja Thailand, Jen Polis Chakthip Chaijinda telah mengarahkan pegawai imigresen supaya meningkatkan pemeriksaan keselamatan di semua pintu sempadan negara.

-- BERNAMA