SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita berhubung kejadian kecurian tabung masjid di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan rasa dukacita dan murka berhubung kejadian kecurian tabung masjid di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, yang melibatkan sumbangan untuk kebajikan umat Islam.
  • Baginda mengingatkan bahawa mencuri adalah perbuatan keji dan dosa besar, terutama apabila melibatkan kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim.
  • Sultan Sharafuddin kecewa pihak pengurusan masjid tidak melaporkan kejadian itu kepada JAIS dan mengarahkan mereka mengambil langkah pencegahan awal yang lebih berkesan, termasuk mengetatkan kawalan keselamatan dan memastikan kamera litar tertutup berfungsi dengan baik.


Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda turut menzahirkan rasa murka terhadap pelaku yang tergamak mencuri hasil sumbangan dan sedekah orang ramai untuk kesejahteraan umat Islam di kariah tersebut.

Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa mencuri adalah perbuatan keji dan merupakan dosa besar khususnya apabila melibatkan kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim.

Baginda juga menzahirkan kekecewaan terhadap pihak pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah kerana tidak melaporkan kejadian itu secara rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sultan Sharafuddin bertitah supaya pengurusan masjid mengambil langkah-langkah pencegahan awal yang lebih berkesan seperti mengetatkan kawalan keselamatan dan memastikan kamera litar tertutup di masjid itu berfungsi dengan baik.

"Baginda berharap kejadian kecurian tabung masjid sebegini dapat dibendung dan tidak akan berlaku lagi di mana-mana masjid dan surau khususnya di negeri Selangor," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA