KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu akur dengan titah Sultan Selangor agar dikekalkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM).


Ringkasan AI
  • Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, akur dengan titah Sultan Selangor untuk mengekalkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM).
  • Mohamad Sabu menyatakan bahawa keputusan Sultan Selangor dan Canselor UPM adalah muktamad dan ia tidak perlu dipanjangkan lagi.
  • Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia membawa maksud Pertanian Untuk Rakyat dan diambil sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


Mohamad juga berkata beliau mengambil maklum keputusan Baginda Sultan dan mahu perkara itu tidak dipanjangkan lagi.

"Saya menganggap, saya mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat Baginda Sultan Selangor dan Canselor kepada UPM adalah muktamad.

"Saya tidak mahu panjangkan isu ini apa-apa lagi. Keputusan dari Canselor dan Sultan Selangor ada muktamad.

"Saya akur dan itu adalah keputusan yang baik," kata Mohamad selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, di sini, pada Ahad.

Mohamad sebelum ini dilapor mahu membawa cadangan penukaran nama UPM kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia kepada Jemaah Menteri.

Ia selepas mengambil kira keutamaan negara kini yang memfokuskan isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian.

Namun, cadangan itu tidak mendapat perkenan Sultan Sharafuddin yang juga Canselor UPM yang menegaskan bahawa jenama "Putra" itu sendiri membawa maksud “Pertanian Untuk Rakyat”.

Dalam titahnya, Baginda juga memaklumkan bahawa nama Universiti Putra Malaysia itu diambil sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.