SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik semula Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut dilantik semula sebagai Pro Canselor UPM ialah Prof Emeritus Datuk Dr Ir Muhamad Zohadie Bardaie.

Menerusi satu kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin selaku Tuanku Canselor UPM turut berkenan melantik bekas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro Canselor UPM yang baharu.

Majlis penyerahan watikah pelantikan berlangsung di Istana Bukit Kayangan di sini semalam.

Semua pelantikan itu adalah untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 18 Okt hingga 17 Okt 2027.

Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Naib Canselor UPM Profesor Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prof Azlinda Azman.

Sementara itu, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Chin selari dengan fokus UPM yang mengangkat agenda pertanian sejak penubuhannya pada 1971 serta komitmen universiti dalam memperkasakan pertanian untuk manfaat masyarakat dan negara.

"Kepakaran Chin di IOI Corporation Berhad diyakini dapat menyumbang kepada pembangunan dan memperkukuhkan agenda pertanian serta keterjaminan makanan negara secara amnya, dan UPM secara khususnya," menurut kenyataan itu.

Chin pernah menyandang pelbagai jawatan kanan dalam kerajaan Persekutuan dari 1986 sehingga bersara pada Mei 2013.

Antara jawatan yang pernah dijawat beliau ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, dan Setiausaha Parlimen serta Kementerian Kebajikan.

-- BERNAMA