SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah agar rakyat khususnya pemimpin politik, segera memberhentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Sultan Selangor bertitah ini kerana, baginda tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggung-jawab, dan ingatan baginda ini tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak atau golongan mana-mana parti politik.

"Malah beta memilih untuk mengeluarkan kenyataan ini selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai, bagi mengelakkan kenyataan beta disalahertikan sebagai memihak sesuatu kumpulan politik.

"Beta menyeru agar janganlah agama diperalatkan bagi meraih sokongan, kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri," titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang, dekat sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti, setelah mendapat perkenan dari Raja bagi setiap negeri, selain Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah MKI juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan hukum, setelah perbincangan dengan mufti dari setiap negeri diadakan dan mendapat perkenaan dari Majlis Raja-Raja.

Baginda bertitah sesuatu fatwa yang dikeluarkan, bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang mufti sahaja, bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli sama ada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI atau Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri, yang terdiri daripada alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

"Ini adalah bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam, baginda mengambil inisiatif untuk mengeluarkan kenyataan ini bagi menasihati semua pihak, terutama orang-orang politik termasuk pemimpin-pemimpin politik, untuk sama-sama memikirkan langkah bagi mengharmonikan dan menyatupadukan rakyat kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai, yang mana jika diberi maklumat yang salah dan tidak tepat, akan mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat.

"Ini berikutan baru-baru ini, kedengaran segolongan masyarakat di negara ini menyuarakan rungutan dan kebimbangan mereka terhadap perpecahan di dalam perpaduan dan keharmonian kaum, dan mereka menggesa agar tindakan segera diambil untuk menangani isu yang telah membuahkan bibit-bibit perpecahan yang semakin ketara, sejak kebelakangan ini.

"Berikutan dengan itu terdapat golongan yang telah memohon agar Raja-Raja Melayu bertindak untuk campur tangan menerusi apa jua ruang yang sah di sisi undang-undang, untuk memayungi keamanan dan kedamaian demi kesejahteraan hidup rakyat," titah baginda.

Baginda juga menyeru pihak polis agar mengambil tindakan yang pro aktif di dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan.

"Beta menegaskan di sini, Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan di dalam memelihara hak orang-orang Melayu dan agama Islam sentiasa terjamin. Di samping itu Raja-Raja Melayu juga bertanggungjawab menjamin hak dan keselamatan kaum-kaum lain yang membentuk rakyat Malaysia," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah rakyat serta pemimpin politik tidak perlu bimbang tentang pemeliharaan hak kaum masing-masing dan agama yang dianuti oleh setiap kaum di negara ini, kerana undang-undang negara khususnya Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan hak bagi semua kaum dan agama kepada setiap rakyat Malaysia.

Raja-Raja Melayu pula berperanan memayungi dan menjamin semua hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut sentiasa dipelihara.

Sultan Selangor bertitah negara akan mundur dalam segala aspek kehidupan sekiranya pemimpin politik cenderung kepada memupuk polarisasi kaum dan mengapi-apikan perasaan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Baginda bertitah polarisasi yang melampau akan membawa kepada implikasi melahirkan unsur radikalisme dan ekstremisme di dalam masyarakat, sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

"Pemimpin dan orang-orang politik seharusnya memupuk semangat perpaduan yang tinggi di dalam kehidupan pelbagai kaum, oleh kerana semua kaum di negara ini memainkan peranan penting di dalam pembangunan budaya dan ekonomi negara.

"Sebarang batas pemisah dan perbezaan antara kaum dan agama seharusnya diatasi dengan usaha-usaha mengadakan pelbagai program bagi merapatkan jurang pemisah, demi mengelakkan sebarang parasangka buruk yang telah sedia ada," titah baginda.

Sultan Selangor bertitah generasi muda pewaris bangsa seharusnya ditanam dengan semangat untuk bertolak-ansur dan memahami budaya serta agama pelbagai kaum yang diamalkan di negara ini.

-- BERNAMA