Ketua Pengarang Astro AWANI Suhaimi Sulaiman sempat bertemu Sultan Azlan Shah dalam beberapa majlis terutama sekali majlis-majlis anjuran Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

"Ini adalah satu kehilangan yang besar bukan sahaja di Perak, tetapi di Malaysia dan juga seluruh dunia.

"Sultan Azlan Shah adalah ikon kepada semua pelajar-pelajar MCKK kerana kehebatan baginda dalam bidang pendidikan dan sukan," jelas Suhaimi yang memuji sikap baginda yang sentiasa memberi sokongan kepada majlis anjuran MCKK.


Berkongsi tentang pertemuan bersama baginda, Suhaimi berkata baginda memang seorang pemimpin yang prihatin dan ahli keluarga diraja Perak pandai menyeasuaikan diri dengan orang kebanyakan.

"Baginda sangat suka untuk mendengar apa yang hendak kita perkatakan, mendengar dengan baik dan suka bertanya semula soalan.

"Sebelum baginda pergi ke sesuatu tempat, baginda telah membuat homework dengan teliti. Ada ketikanya apabila soalan itu ditanya kepada saya, saya tidak mempunyai jawapan yang jelas.

"Baginda bukan sahaja prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling baginda tetapi mahu berkongsi maklumat supaya dapat membina satu negara bangsa yang hebat," kongsi Suhaimi.