KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengagihkan Sumbangan Sembah Kurnia berupa 25,000 kampit beras 10 kilogram kepada asnaf di Kuala Lumpur sepanjang Ramadan.

Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, sebanyak 10 buah masjid di sekitar Kuala Lumpur telah dipilih bagi urusan pengagihan beras tersebut.

Menurutnya, setiap masjid akan diberikan stok beras sebanyak 2,500 kampit dan ia akan diagihkan pada setiap Isnin hingga Jumaat sepanjang bulan Ramadan, dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

“Walaupun kita nampak kecil kurninaan beras in tetapi saya fikir ia begitu bermakna buat mereka yang dalam kesusahan, dalam keadaan yang mungkin berlaku kenaikan harga beras.

“Jadi sumbangan beras yang merupakan makanan ruji, yang mana setiap daripada kita rakyat Malaysia memang makan beras, sekurang-kurangnya dapat membantu khususnya dalam bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Saya fikir ini bukanlah satu-satunya bantuan daripada Seri Paduka Baginda akan laksanakan. Memang menjadi harapan dan keinginan Baginda untuk sebaik mungkin membantu selagi termampu, mereka yang susah sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan 25,000 Kampit Beras Kurniaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Kepada Asnaf di Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur.

Bagi penerima pula, sumbangan itu sangat bermakna buat mereka memandangkan harga beras di pasaran sekarang agak tinggi.

Malah, ada yang sebak dan lega kerana menjadi sebahagian daripada penerima kerana ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

“Saya seorang yang menanggung keluarga. Bila dapat bantuan ini, dapatlah menampung saya dalam bulan Ramadan ini. Anak saya kecil-kecil lagi, yang paling besar pun 13 tahun.

“Terima sekampit ini boleh membantu sayalah. Terima kasih kepada Tuanku beri saya sumbangan beras ini dari Istana Negara,” kata seorang penerima, Siti Nurliyana Zulkifli.

Bagi Nor Azila Sahbari, 32, pula, sumbangan itu sangat membantu memandangkan suaminya kini menderita penyakit kencing manis dan sudah dua tahun tidak bekerja.

“Dengan beras 10 kilogram ini, terasa ringan sangat-sangatlah. Suami pun sakit, dengan tak sihat kan. Sekarang ini sayalah yang kerja seorang, tanggung semua.

“Alhamdulillah. Terima kasih Tuanku... semoga dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur, sihat-sihat selalu,” katanya.

Sarimah Nordin, 60, turut merakamkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada Sultan Ibrahim atas kurniaan itu.

“Beras sekarang harga dia meninggi. Macam makcik ada ramai anak dan cucu lagi ada, itulah yang susah sangat kan.

“Makcik dalam rumah tu ramai cucu saja. Dapatlah menampung makcik ni. Memang lega sangat. Terima kasih banyak memberi bantuan ini,” katanya.