Aiman Ahmad Farid, 33, berkata agihan itu dilakukan sejak Selasa dan diteruskan semalam setelah mendapat sambutan menggalakkan.
"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengagihkan kek pisang kepada pemandu kenderaan yang lalu-lalang di hadapan kedai kami.
"Ada juga yang keliru sebab mereka ingatkan agihan ini daripada mana-mana calon parti tetapi kami sebenarnya sekadar memeriahkan suasana pilihan raya, ini merupakan inisiatif tersendiri daripada kedai Mr Mamahub," katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Pintu Geng, di sini semalam.
Aiman berkata untuk menyiapkan kek tersebut, mereka menggunakan 25 kilogram (kg) pisang jenis cavendish, 10kg tepung dan 10kg gula perang.
"Saya dibantu isteri Nur Izzati Mohamad, 29, dan empat pekerja menyiapkan kek pisang tersebut dalam tempoh dua hari. Kos keseluruhan kek pisang yang dihasilkan ialah RM2,000," katanya.
Menurut Aiman sejak mengusahakan kedai kek itu lebih dua tahun lepas, mereka sering mencipta kelainan dalam pembuatan kek mengikut tema sambutan seperti Hari Kebangsaan.
"Agihan percuma kali ini juga bertujuan untuk mengingatkan orang ramai hari mengundi sudah hampir tiba pada 19 Nov nanti," katanya.
-- BERNAMA