Mahkamah Tinggi Kangar membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan seorang suami daripada pertuduhan bersubahat merogol isterinya sendiri hari ini.

Tertuduh bagaimanapun dikenakan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan menakut-nakutkan isterinya.

Menurut laporan Bernama, Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar melepaskan tertuduh daripada pertuduhan bersubahat merogol isterinya bersama seorang rakan selepas membenarkan rayuan dibuat terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen pada 29 Jun 2015.

Mahkamah bagaimanapun menambah hukuman penjara setahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen sebelum ini kepada empat tahun terhadap tertuduh yang berusia 25 tahun.

Ini kerana tertuduh didapati bersalah melakukan ketakutan dan kecederaan ke atas isterinya untuk melakukan persetubuhan.

Hukuman penjara itu bermula pada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 1 Jan 2014.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili Peguam Fatin Hayati Abdul Rahman.

Tertuduh sebelum itu didakwa bersubahat merogol isterinya bersama seorang rakan di sebuah rumah di Arau mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ketakutan dan kecederaan ke atas isterinya untuk melakukan persetubuhan di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun.