KUALA LUMPUR: Keputusan untuk mengekalkan Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diketahui pada pertengahan tahun depan, kata Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, NTF ditubuhkan secara ad hoc dan terbukti keberkesanannya dalam mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dalam operasi benteng sejak negara ini dilanda wabak COVID-19.

"Sekiranya ia hendak ditukar kepada nama lain selepas ini, berkemungkinan melibatkan beberapa perubahan dalam struktur organisasi.

"Mungkin struktur organisasi diubah suai tetapi konsepnya akan dikekalkan (operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain)," katanya kepada Bernama baru-baru ini dalam lawatannya ke Kapal Diraja (KD) Lekiu sempena Operasi Benteng siri 1/21 di Sektor Lima pesisir pantai Selangor.

Mengulas mengenai lambakan pendatang memasuki negara ini ekoran ekonomi negara yang semakin kukuh, Affendi berkata ATM memang menjangkakan berlaku peningkatan pendatang.

"Oleh yang demikian, NTF telah menambah aset-aset ATM sedia ada dan akan terus memperkasakan operasi benteng," katanya.

Affendi berkata berdasarkan faktor ancaman, Selangor adalah satu daripada enam paksi ancaman utama merangkumi aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan aktif di pantai barat semenanjung ini.

Beliau berkata kedudukan geografi Selangor di sebelah barat yang terbuka dan hampir dengan perairan sempadan negara jiran menjadi faktor ia terdedah kepada laluan masuk secara haram di perairan Selangor.

"Kebanyakan kes di Selangor adalah melibatkan kegiatan cubaan menceroboh pendatang yang masuk melalui laut sama ada menggunakan bot nelayan tempatan dan bot nelayan asing," katanya.

Menurutnya, negeri berkenaan juga adalah kawasan tumpuan pendatang untuk ke luar negara mereka melalui jalan tidak diwartakan.

Mengulas lanjut, Affendi mendedahkan statistik kemasukan pendatang di Selangor semakin ramai pada enam bulan pertama (Januari - Jun 2021) iaitu 1,021 pendatang melibatkan 212 kes.

Selain itu, beliau berkata untuk enam bulan kedua mulai Julai hingga 21 Dis lepas, sebanyak 715 orang dan 66 kes tahanan melibatkan 1,739 pendatang telah direkodkan.

"NTF juga memandang serius kemasukan pendatang Myanmar dari sempadan Malaysia-Thailand sejak lima hari kebelakangan ini meningkat kepada 82 orang.

"Ini akan memberi impak kepada peningkatan kemasukan pendatang dan juga berkemungkinan besar membawa COVID-19," katanya.

-- BERNAMA