SEREMBAN: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menerima 591 aduan berkaitan syarikat yang menawarkan pelaburan secara penipuan dan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016, dari tempoh 2022 hingga Julai lepas.

Pengerusi SSM Ahmad Sabki Yusof berkata statistik tinggi yang direkodkan itu menunjukkan ia merupakan masalah yang serius dan perlu ditangani secara bersepadu.

"Sebanyak 28 penipuan pelaburan dan tiga kes penipuan Skim Kepentingan 2016 dicatatkan pada 2022 dan ia naik mendadak kepada 320 kes pada tahun lepas melibatkan penipuan pelaburan, manakala Skim Kepentingan 2016 sebanyak 46 kes.

"Setakat Julai lepas pula, 190 kes penipuan pelaburan direkodkan dan empat kes penipuan Skim Kepentingan 2016," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bimbingan Usahawan Peringkat Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata selain penipuan pelaburan pihaknya turut menerima aduan membabitkan skim sumbangan dana kebajikan.



SSM-PENIPUAN PELABURAN 2 (AKHIR) SEREMBAN



Ahmad Sabki berkata SSM sentiasa menjalankan kerjasama erat dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi membendung isu penipuan pelaburan yang semakin berleluasa.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 123,570 perniagaan berdaftar melalui Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) sejak ia diperkenalkan pada 2021 dan daripada jumlah itu 57,953 melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa, manakala bakinya usahawan kumpulan B40.

"Melalui skim ini mereka akan diberi pengecualian bayaran hingga RM70 semasa melakukan pendaftaran. Ia adalah sebahagian daripada usaha kita untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan," katanya.

Beliau berkata pihaknya masih mempunyai dana geran sebanyak RM3 juta yang boleh dimanfaatkan oleh 36,000 peniaga untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma.

Pada program tersebut, SSM menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat Korporat berjumlah RM45,000 dan RM20,000 melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat kepada surau, sekolah, pusat jagaan kanak-kanak, dan usahawan asnaf di negeri ini.

-- BERNAMA