KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM1,500.

Menurut sumber, perbuatan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemandu kenderaan yang menggunakan dan memiliki lesen perdagangan kenderaan motor (plate trade).

Katanya ketiga-tiga lelaki berusia antara 36 hingga 37 tahun itu dipercayai ditahan semalam di pejabat SPRM Kuala Lumpur antara 5 petang hingga 7 malam.

"Dua anggota penguat kuasa tersebut yang menaiki motosikal dipercayai telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu menggunakan nombor perdagangan kenderaan motor (trade plate) syarikat kira-kira 9.30 pagi semalam.

"Anggota penguat kuasa tersebut kemudian memberitahu kepada pemandu kenderaan itu bahawa nombor 'trade plate' yang digunakan adalah palsu. Seorang daripada anggota terbabit meminta wang kira-kira RM1,500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kenderaan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut sumber, kesemua mereka termasuk seorang lelaki yang bertindak sebagai 'runner' telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini untuk permohonan reman dan Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan permohonan reman selama enam hari bermula hari hingga 17 Okt.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA