Seorang bekas pengurus kanan produk sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta.

Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 4.35 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.

Siasatan awal mendapati, suspek telah menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat.

Ia sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

Sumber berkata, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek pagi ini di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Tambahnya, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes sama.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Sri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.