IPOH: Seorang wanita didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat seorang lelaki warga emas di hadapan sebuah pasar raya di Klebang Putra, bulan lepas.

Siti Nuridah Jumali, 24, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif yang turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pindaan, wanita terbabit bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah bertindak gopoh yang tidak terjumlah dengan kesalahan mematikan orang dengan salah sehingga menyebabkan kematian Abd Kamar Mat Sarin, 64.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang Putra, Kinta antara 4.20 petang hingga 5.30 petang pada 25 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya.



MAHKAMAH-KEMATIAN 2 (AKHIR) IPOH



Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Robert Gnanarajan yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana tertuduh masih belum berkahwin dan bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan bulanan RM3,000.

Mengikut fakta kes semasa kejadian, tertuduh dan seorang lagi suspek yang masih bebas telah bertindak gopoh dengan menampar tepi muka dan belakang mangsa sehingga menyebabkan kematian.

Berdasarkan laporan polis, terdapat saksi dan rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan tertuduh dan suspek yang masih bebas melakukan perbuatan terbabit dan tidak mempunyai niat membunuh.

Selain itu, laporan perubatan menunjukkan mangsa mempunyai masalah sakit jantung dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.

-- BERNAMA