Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang termasuk seorang pegawai kanan kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Azam Baki berkata, penahanan pada Rabu itu dibuat selepas kakitangan terbabit disyaki melindungi kegiatan haram pelombong tersebut daripada diambil sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap mereka.

"Nilai wang rasuah yang terbabit dalam kes ini lebih daripada RM100,000.

"Kesemua mereka yang berusia antara 30 hingga 38 tahun itu kini ditahan reman seminggu bermula hari ini mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009," jelasnya.

Selain itu, berhubung kes sama, SPRM turut mengesan kegiatan penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau borang 13D secara haram kepada pelombong tidak berlesen dengan harga RM150 hingga RM200 sedangkan borang itu bernilai RM1 sahaja.

"SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan melakukan tangkapan susulan dan telah mempunyai maklumat berkaitan pihak-pihak terbabit.

"Dalam pada itu, SPRM berharap semua pihak termasuk masyarakat setempat bertanggungjawab bagi memastikan isu aktiviti perlombongan bauksit tidak terkawal ini dapat diatasi serta segala kerosakan yang telah berlaku dapat diperbaiki semula," jelas kenyataan berkenaan.

Pada Rabu, SPRM mendedahkan wujud unsur rasuah yang dilakukan pihak tertentu yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran bauksit yang tidak terkawal di Pahang.

Menurut SPRM, pihak mereka memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa tersebut di bawah Akta SPRM 2009.