Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dapat melaksanakan usaha mencegah jenayah rasuah secara lebih menyeluruh sekiranya undang-undang berkaitan rasuah dipinda.

Pindaan undang-undang berkaitan rasuah itu merupakan antara syor dan cadangan yang dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2014, yang dikemukakan kepada Kerajaan dan diedarkan kepada Parlimen pada 1 Disember lalu.

"Justeru, syor dan cadangan terutama melibatkan pindaan undang-undang sudah dikemukakan tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen untuk diluluskan," kata Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dalam satu kenyataan, hari ini.

Jawatankuasa tersebut turut menyatakan kekecewaan kerana sehingga hari ini pindaan yang disyorkan masih belum dibawa ke Parlimen selepas syor itu dikemukakan tiga tahun lalu.

"Dalam perkara ini, YAB Perdana Menteri sendiri telah menyatakan pendirian dari segi prinsip, beliau menyokong cadangan-cadangan yang telah dikemukakan.

"Justeru, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dengan sesungguhnya berharap semua pihak yang terlibat dapat memberi pertimbangan yang serius untuk merealisasikan hasrat yang murni ini pada tahun ini," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi usaha bagi mencegah jenayah rasuah secara lebih menyeluruh dan berkesan akan lebih berkesan sekiranya syor dan cadangan dikemukakan mereka dipertimbangkan

"Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah juga berkeyakinan bahawa keberkesanan SPRM akan meningkat sekiranya segala cadangan dapat dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan."

Antara cadangan yang terkandung dalam laporan Jawatankuasa itu termasuk berkaitan pengurangan peruntukan kewangan sebanyak RM42 juta bagi tahun kewangan 2016, Jawatankuasa itu memohon supaya kerajaan mempertimbangkan dengan serius tambahan peruntukan kepada SPRM supaya tidak menjejaskan perjalanan SPRM

Selain itu cadangan penubuhan panel bebas bagi mengkaji kertas siasatan kes profil tinggi sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara. Kewujudan panel ini hanya untuk mengkaji kes khas berprofil tinggi yang tertentu secara 'on case basis' sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara.

Cadangan Dasar Merakyatkan SPRM dapat dipertingkatkan dan dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh bagi penerimaan dan meyakinkan masyarakat terhadap SPRM.