KUALA LUMPUR : Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan, spekulasi mengenai pemindahan milik aset dan tanah-tanah di sepanjang jajaran Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada negara China adalah tidak berasas sama sekali.

Jelasnya, aset ECRL adalah milik penuh Kerajaan Malaysia melalui Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL adalah rizab kereta api yang tidak boleh dipindah milik.

"Pelan pembayaran balik kos pinjaman projek kepada bank milik Kerajaan China juga langsung tidak melibatkan pemindahan aset ECRL atau tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL. Ditegaskan bahawa MRL adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala syarikat CCCC adalah kontraktor utama," katanya di laman sosial Facebooknya pada Sabtu.

Kata Ka siong, dakwaan itu sengaja dicetuskan sebagai satu propaganda berniat jahat sebagaimana naratif sesetengah pihak sebelum ini berhubung projek pembangunan Forest City dan usahasama Proton-Geely.

"Naratif mereka, negara asing menguasai aset Malaysia, aset negara digadai dan kedaulatan negara diceroboh. Ini bukan sahaja fitnah, tetapi juga memburukkan imej Malaysia bagi kaca mata masyarakat dunia, lebih buruk ia menghakis kepercayaan pelabur asing untuk melabur di Malaysia," ujarnya lagi.

Tambah beliau, Malaysia Rail Link (MRL) sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi menubuhkan syarikat usahasama dengan pemilikan 50:50 untuk dilantik sebagai Operator ECRL.

Dalam pada itu, kadar tambang Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan ditentukan kelak akan setara dengan kadar tambang perkhidmatan kereta api sedia ada.



Ia sekali gus akan memastikan kadar tambang dikenakan amat berpatutan dan mesra rakyat.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa kadar tambang ECRL yang akan ditentukan kelak akan setara dengan kadar tambang perkhidmatan kereta api sedia ada yang dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia. Berdasarkan kadar tambang sedia ada, ianya adalah amat berpatutan dan mesra rakyat," tambahnya.