KUCHING: Sarawak bersetuju mengguna pakai ketetapan mengenai kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

JPBN juga bersetuju laporan mingguan mengenai kes COVID-19 dikeluarkan pada setiap Isnin.

"Walau bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak leka dan terus kekal berwaspada. Pastikan saranan dan nasihat kesihatan diamalkan pada setiap masa," menurut kenyataan itu.

BACA: SOP, protokol COVID-19 baharu: Ini yang anda perlu tahu

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan beberapa kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 berkuat kuasa 1 Mei antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

-- BERNAMA