KUALA LUMPUR: Semua kelulusan projek pembangunan baharu di Kuala Lumpur ditangguhkan buat sementara waktu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, penangguhan itu dibuat sehingga jawatankuasa khas berkaitan bencana, termasuk tanah jerlus ditubuhkan kementerian berkenaan.

Menurutnya, pihaknya kini sedang dalam usaha memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) pembangunan di Kuala Lumpur.

"Projek (baharu) kita hold dulu sementara kita adakan task force.

“Kita akan mengambil kira kajian geo teknikal. Walaupun kajian sebelum ini dilakukan di kawasan bercerun.

“Insya-Allah di masa akan datang, mungkin kita lihat keperluan untuk buat kajian di kawasan rata.

“Dengan keadaan cuaca tidak menentu, hujan yang terlalu banyak yang menyebabkan struktur tanah longgar, lembut, yang boleh menyebabkan keadaan tidak diingini.

“Jadi Insya-Allah kita akan perhalusi dan memperkukuhkan SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melawat mendapan tanah di Kampung Kerinchi pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, mengulas insiden mendapan tanah di Kampung Kerinchi, beliau berkata pihak berwajib akan mengambil tindakan segera bagi membaiki kerosakan itu.

“Tumpuan utama adalah kepada paip IWK yang perlu diperbaiki terlebih dahulu. Kita jangka dalam tiga minggu dapat selesaikan perkara ini.

“Penduduk di sini juga perlu jaga keselamatan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, kawasan terjejas sudah ditutup dan orang ramai tidak dibenarkan berada hampir dengan kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.