KOTA TINGGI: Nilai kerugian akibat banjir di seluruh negara berjaya dikurangkan kepada RM755 juta tahun lepas berbanding RM1.03 bilion pada 2022.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penurunan sebanyak RM275 juta itu dicapai hasil pengurusan yang cekap dan kerjasama erat pelbagai pihak menerusi langkah pengurangan risiko bencana.

"Tahun 2022, kita kehilangan dan menanggung kerosakan bernilai RM1.03 bilion, tetapi dengan langkah-langkah pengurangan risiko bencana, kerugian tersebut berjaya dikurangkan sebanyak RM275 juta," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024.

Beliau berkata kabinet juga telah meluluskan Dasar Pengurangan Risiko Negara dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dua minggu lepas, yang akan digunakan untuk menyelaraskan usaha mengurangkan risiko bencana.

Langkah-langkah itu katanya akan dilaksanakan di seluruh negara dan beliau meminta semua pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (Setiausaha Kerajaan Negeri) supaya melaksanakan usaha yang sama di peringkat negeri.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kerajaan juga telah membina Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Johor dan Pahang yang dilengkapi pelbagai kemudahan bermula tahun lepas.

Pemilihan lokasi untuk PPKB katanya adalah berdasarkan cadangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), antara lain mengambil kira kawasan terdedah kepada banjir termenung dan kawasan yang mengalami taburan hujan melebihi paras normal.

Projek rintis PPKB juga telah dimulakan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu serta Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata kerajaan memperuntukkan RM21 juta untuk membeli lima unit Jambatan Bailey serta RM3 juta bagi pembelian 31 unit khemah Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan kelengkapan yang diperlukan.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang akan menjadi panduan utama untuk mengurangkan risiko dan meminimumkan impak bencana serta menjadikan negara lebih berdaya tahan dalam pengurusan risiko secara komprehensif dan holistik.

BKN 2024 yang bertemakan "Malaysia Madani, Siaga Bencana" bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerjasama kerajaan dan komuniti setempat.

-- BERNAMA