Pelaksanaan ibadat solat sunat Tarawih di masjid masjid dan surau di negeri Kedah yang menjadi rutin sepanjang bulan Ramadan berkemungkinan besar akan dibatalkan bagi tahun ini.

Bagaimanapun, Mufti Negeri Datuk Sheikh Fadzil Awang menjelaskan, sebarang keputusan akhir atau ketetapan berkenaan ibadat tersebut akan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, ketika ini wujud permohonan daripada beberapa buah masjid di negeri itu bagi menganjurkan ibadat tarawih secara berjemaah dengan kuantiti yang lebih kecil.

Namun, sebarang keputusan hanya akan diketahui selepas pengumuman dari pihak KKM.

"Dalam suasana seperti ini, sebenarnya pihak yang berautoriti adalah KKM. Kalau mereka mengeluarkan satu peraturan, satu perintah, maka perintah mereka adalah yang paling kuat.

"Dalam soal ibadat, mufti-mufti atau orang agama, sebenarnya lebih kuat dari segi memberi pandangan.

"Tetapi apabila kita rujuk kepada yang arif dalam undang-undang, dalam soal dan suasana seperti ini, yang lebih kuat ialah peraturan atau akta yang dikeluarkan, yang ada pada KKM," katanya.



BACA: COVID-19: Pihak berkuasa tinjau masjid, nasihat jangan terus solat jemaah

Beliau berkata demikian mengulas permintaan sesetengah pihak untuk terus tetap mengadakan solat tarawih secara berjemaah di masjid dalam bulan Ramadan yang akan datang tidak lama lagi.

"Permintaan untuk tetap mengadakan solat tarawih, akan dirujuk kepada KKM terlebih dahulu.

"Saya percaya bahawa tahun ini, solat tarawih di masjid-masjid, termasuk surau, tidak akan diadakan," tambahnya.

Sheikh Fadzil berkata demikian pada satu sidang media bagi memperkenalkan jenis kadar bayaran zakat fitrah tahun 2020, di Menara Zakat Negeri Kedah, di sini, pada Khamis.

BACA: Pelaksanaan solat tarawih, tunggu pengumuman mengenai PKP - Zulkifli

Pada 16 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Pada Rabu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat yang menjadi tradisi baginda di masjid seluruh negeri pada Ramadan tidak dianjurkan tahun ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata baginda dengan berat hati memutuskan sedemikian setelah mengambil kira faktor keselamatan rakyat susulan penularan wabak COVID-19 yang belum dapat dibendung sepenuhnya.