Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di peringkat perbincangan dengan kementerian pendidikan bagi merangka satu garis panduan untuk menangani isu ketagihan internet khususnya dalam kalangan pelajar.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Advokasi Dan Jangkauan SKMM, Eneng Faridah Iskandar, manual intervensi telah dibangunkan dengan kerjasama Heriot-Watt University Malaysia.

Ujarnya, garis panduan itu nanti adalah sebagai rujukan kepada guru kaunseling dalam menangani kes ketagihan internet dalam kalangan pelajar berikutan masalah tekanan perasaan, kemurungan dan keresahan yang dikaitkan dengan penggunaan internet berlebihan.

"Terdapat isu-isu dalam kalangan golongan muda yang mengalami kemurungan apabila tidak mempunyai peranti di hadapan mata. Ada juga yang terlalu tertekan dan tidak boleh menjalani hidup sebagai seorang remaja biasa.

"Itu sebenarnya yang membimbangkan kita apabila sesuatu penggunaan itu menjadi suatu perkara yang keterlaluan," katanya kepada Astro AWANI selepas Persidangan Tahunan Persatuan Ketagihan Internet Antarabangsa ke-5 di sini, hari ini.

Namun lebih penting ujarnya, adalah peranan ibu bapa dalam menangani gejala berkenaan.

"Adalah penting bagi ibu bapa sebenarnya untuk mendidik pengunaan internet dari awal. Malah ada pakar yang menyebut tidak digalakkan memberi gadget kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Selain itu, menetapkan kawalan tiga jam kepada kanak-kanak."

"Perkara-perkara ini mungkin tidak diberi perhatian sebelum ini, tetapi kita jangan ambil mudah kerana kita mahu anak mendapat manfaat sepenuhnya dari gajet dan juga pada masa sama kita mahu mereka jalani kehidupan normal dan sihat," katanya.

Statistik SKMM pada 2014 menunjukkan daripada 20.1 juta pengguna internet di Malaysia, 59 peratus daripadanya adalah di bawah umur 30 tahun.

Di negara ini, kebanyakan kanak-kanak seawal usia 12 tahun didapati memiliki telefon pintar.