KUALA LUMPUR: Skim veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen dan tidak berpencen akan dimasukkan dalam agenda mesyuarat pertama Skim Perkhidmatan dan Persaraan Isnin depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu tidak pernah dimasukkan dalam kajian semula skim perkhidmatan dan persaraan sebelum ini.

Beliau berpandangan, masalah yang dihadapi oleh veteran ATM sama ada yang berpencen atau tidak berpencen tidak boleh diselesaikan dengan hanya memberikan bantuan secara one-off.

"Pada hari Isnin kita ada mesyuarat pertama secara menyeluruh mengkaji dan membuat pembaharuan dalam skim perkhidmatan awam.

"Kita akan bincang bagaimana boleh meningkatkan kedudukan pendapatan semua skim perkhidmatan ini termasuk pertama kali soal veteran dan veteran tidak berpencen.

"Saya tidak fikir ada penyelesaian kalau kita beri bantuan one-off sebegini tetapi melihat semula golongan pasukan keselamatan," katanya selepas menghadiri Program pemerkasaan usahawan veteran ATM pada Isnin.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Zulkapli Mohamed dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican agar pandangan kesemua persatuan veteran termasuk Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) diambil kira sebelum mesyuarat berkenaan diadakan.

Selain itu, Perdana Menteri juga mencadangkan semua agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut terlibat membantu veteran.

"Kalau semuanya terlibat, ratusan syarikat, saya ingat sekali gus puluhan ribu veteran boleh diserap dalam program-program mereka," katanya lagi.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.