KAPIT: Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bena di Sungai Sut di sini, perlu dibina semula selepas mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami air baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata struktur asal binaan sekolah yang dibina pada 1963 itu sudah tidak mampu untuk menampung sekiranya bencana alam berkenaan berulang lagi.

"Kerja baik pulih sahaja tidak cukup untuk menghidupkan semula rumah ilmu buat anak-anak pedalaman di situ.

"Tidak dapat saya bayangkan ketakutan dan kepayahan terpaksa dihadapi oleh pelajar di sekolah rendah ini bersama guru-guru dan kakitangan semasa bah yang datang ketika mereka sedang lena tidur," katanya dalam satu kenyataan selepas turun padang melihat sendiri kerosakan teruk dialami sekolah berkenaan yang sudah dalam keadaan daif.

Keseluruhan binaan sekolah, asrama dan kuarters yang menempatkan 47 mangsa termasuk 33 murid dan 14 guru serta kakitangan, musnah ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat pada awal pagi, 22 Ogos lepas.

Sementara itu, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang turut menyalurkan bantuan masing-masing RM30,000 dan RM10,000 kepada pihak sekolah untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta memenuhi keperluan segera murid dan kakitangan sekolah yang terjejas teruk.

Selain itu, Nanta turut meninjau keadaan SK Rantau Panjai yang terkesan akibat banjir dan menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada pihak sekolah berkenaan.

Beliau juga berterima kasih kepada semua pasukan yang terlibat dalam menyelamatkan mangsa banjir di kedua-dua lokasi tersebut dan membantu kerja-kerja pembersihan segera.

-- BERNAMA