MURID bukan Cina hari ini membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di sekolah rendah Cina di seluruh negara, termasuk Melayu, India, Orang Asli serta warga asing.

Ini menunjukkan bahawa trend murid bukan Cina yang menghadiri sekolah rendah berkenaan semakin meningkat.

Walau bagaimanapun, bagi murid-murid bukan Cina, memasuki sekolah rendah Cina diibaratkan seperti berada dalam 'persekitaran yang asing.'

Di sebalik usaha meningkatkan tahap kemahiran, murid-murid bukan Cina berdepan cabaran tertentu termasuk perlu menyesuaikan diri dari segi bahasa dan budaya.

Antara kekangan terbesar yang dihadapi kumpulan ini ialah pembelajaran bahasa dan masalah komunikasi dengan rakan sekelas memandangkan Mandarin bukan bahasa ibunda mereka.

.

Namun bagi guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Baru Paroi, Seremban, Yee Chon Moi - semua ini tidak menjadi halangan untuk beliau menarik minat murid-murid bukan Cina.

SJKC Kampung Baru Paroi mempunyai 250 murid dan diklasifikasikan sebagai sekolah jenis A di kawasan pinggir bandar.

Sebagai individu yang menggalas amanah, tugasnya adalah memastikan murid-murid bukan Cina juga menikmati suasana pembelajaran yang berkualiti dan kondusif.

.

'I Learn Mandarin' bantu murid bukan Cina

Selepas berpindah ke sekolah berkenaan pada 2022, Chon Moi mengambil inisiatif memperkenalkan  program "I Learn Mandarin" bagi  membantu kumpulan murid bukan Cina.

Berkongsi lanjut, Chon Moi berkata ketika mula bertugas di sekolah berkenaan, beliau mendapati guru-guru berada di bawah 'tekanan'.

Namun, beliau mengakui murid-murid tanpa mengira latar belakang dilihat gembira menjalani pembelajaran di sekolah berkenaan.

Chon Moi memperkenalkan program "I Learn Mandarin" bagi murid-murid bukan Cina tahun satu hingga tiga dengan bantuan bekas rakan sekolahnya, yang mengetuai sebuah tadika dan sedang mengkaji pembelajaran bahasa Cina oleh masyarakat bukan Cina.

Dengan komitmen dan kesungguhan, mereka menyusun bahan pengajaran serta dialog, sekali gus membolehkan murid-murid menjalani latihan selama tiga bulan secara percuma sebelum menduduki peperiksaan.

Selepas beberapa bulan latihan, 80 peratus murid-murid bukan Cina berjaya menguasai asas-asas bahasa Cina dalam fasa pertama.

Begitu pun, disebabkan kekangan peruntukan pihak sekolah kemudian menyesuaikan mod program tersebut dengan memasukkan murid-murid dalam kumpulan WhatsApp.

Menerusi inisiatif itu, mereka berkongsi bahan pembelajaran dan perbendaharaan kata, dan dalam masa sama menggalakkan ibu bapa serta anak-anak bukan Cina untuk belajar bersama.

.

Menurut Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Dong Zong; Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Jiao Zong; dan Kementerian Pendidikan (KPM), bilangan murid bukan Cina di sekolah rendah Cina di seluruh negara meningkat daripada 17,309 pada 1989 (3.05 peratus) kepada 52,043 pada 1998 (8.66 peratus), 72,443 pada 2010 (11.84 peratus), serta 101,011 pada 2020 (19.75 peratus).

Artikel ini merupakan kolaborasi antara media bagi meneliti pengalaman dan cabaran yang dihadapi murid bukan Cina  di sekolah rendah Cina menerusi Laporan Khas  bertajuk 'SJKC: Realiti bagi murid bukan Cina'.

Ia melibatkan kerjasama lima media arus perdana iaitu Sin Chew Daily, Astro AWANI,  Sinar Harian, The Star dan Malaysia Nanban.