BATU GAJAH: Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan mengenai perincian peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam dalam Belanjawan 2023.

Beliau yang merupakan menteri India tunggal dalam Kabinet, berkata ia berikutan buat pertama kali rumah ibadat Hindu menerima peruntukan sebegitu (termasuk rumah ibadat bukan Islam lain) daripada kerajaan Persekutuan dalam belanjawan negara.

"Semalam, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memperuntukkan RM50 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam.

"Ini termasuk rumah ibadat Hindu, Cina dan Kristian. Ia akan memberi manfaat kepada semua komuniti ini," katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya MYFuture Jobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Silverlakes Village Outlet di sini hari ini.

Sivakumar juga memaklumkan sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), selain RM30 juta disediakan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional untuk Skim Pembiayaan Usahawan Mikro India.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan RM50 juta disediakan bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam seluruh negara dan RM900 juta untuk kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

--BERNAMA