Marah, sedih dan kecewa! Niat hendak mencari pekerjaan tetapi sebaliknya terasa ditipu oleh pihak penganjur sebuah acara pameran kerjaya.

Demikian nasib yang diterima lebih 5,000 orang graduan baharu yang mendakwa terpaksa membayar RM10 bagi setiap borang untuk memasuki ekspo kerjaya di sebuah hotel di sini.

Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan penganjur yang mengenakan caj untuk setiap borang yang perlu diisi bagi setiap pekerjaan yang dipohon, malah setiap seorang perlu membeli sekurang-kurangnya lima borang.

Menurut beberapa siswazah yang ditemui, mereka mendakwa terpaksa berbaris panjang dan diasingkan kepada beberapa kumpulan di bawah matahari terik.

Bagaimanapun, mereka akhirnya terpaksa pulang hampa.

Ribuan daripada mereka adalah penganggur yang datang ke karnival terbabit semata-mata ingin mencari pekerjaan dan majoritinya anak golongan kurang berkemampuan.

"Borang tu takat sekarang dah tutup. Dah tak ada. Isu borang tu (perlu dibayar) RM10 dan ada diberi lima borang, maka kena bayar RM50. Itu membebankan kami. Kami pun baru nak cari kerja dan tak ada duit lagi," keluh seorang siswa, Ahmad Takim Baharudin.

Membebankan

Bagi seorang lagi siswa, Mohd Faiz Badarudin, isu borang yang dikenakan caj tidak seharusnya wujud.

"Kalau buat job fair ni tak perlulah caj borang sebab kita nak membantu graduan ataupun pelajar lepasan ijazah ni yang nak cari pekerjaan.

"Kami memang bersaing antara satu sama lain, lepas itu nak cari kerja kena beli borang pula. Ini membebankan kami. Sepatutnya (penganjuran) nak membantu orang lain kan?" ujarnya.

Difahamkan, caj yang dikenakan bagi setiap borang oleh penganjur juga tidak diketahui peserta yang datang untuk ditemu duga.

Mereka tidak dimaklumkan oleh pihak penganjur berkaitan bayaran tersebut dan berasa hairan kenapa pintu dewan ditutup dan hanya mereka yang telah membayar dibenarkan masuk.

“Kalau tengok di Facebook pun penganjur sudah tutup dia punya page. Orang dah tak mahu datang kerana mereka takut untuk bayar borang,” ujar seorang peserta pameran, Izzudin Husni.

Di laman media sosial, ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati masing-masing. Menurut mereka yang dapat masuk ke dalam ekspo tersebut, gerai yang disediakan kebanyakannya hanyalah bagi produk kecantikan dan kosmetik, produk dropship dan insurans.

Ambil serius

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Negeri Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, penganjuran program itu sebenarnya tidak relevan kerana ramai yang merungut dan merasa tertipu dengan program itu yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak muda yang sedang mencari pekerjaan.

Beliau berkata, seharusnya pihak penganjur lebih bersikap tolerasi dan bukannya mengambil kesempatan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berwajib iaitu Jabatan Sumber Manusia dapat mengambil serius isu ini supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.

Karnival itu sepatutnya berlangsung tiga hari bermula Sabtu di sebuah hotel di bandar raya Alor Setar, namun pada hari ini, ekspo itu sudah ditutup.