KUALA LUMPUR: Keperluan untuk mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) penting supaya kerajaan dapat menyemak, meneliti, membuat analisis dan profil mengenai cadangan atau merangka program yang boleh dilaksanakan dengan berkesan bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata apabila data yang baik diterima dan diperoleh melalui sistem ini, banyak program dapat direka dan dibentuk untuk mencapai matlamat dan keberkesanannya.

"Inilah sebab kenapa perlunya ada tarikh 'cut off' atau dateline (tarikh akhir)...supaya kita boleh lihat apakah cadangan yang boleh dibawa kepada setiap kementerian untuk dibentangkan kepada jemaah menteri," katanya dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Bernama TV.

Mohd Uzir berkata walaupun data orang awam telah ada tersimpan di beberapa kementerian dan agensi seperti di Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Pendidikan, Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Jabatan Akauntan Negara dan sebagainya, namun sistem PADU memberikan peluang kepada rakyat untuk mengemas kini data mereka.

"Di sini kita akan lihat kesahihan, ketulenan dan kesesuaian sama ada ia boleh dilaksanakan kerajaan, dan kita boleh kenal pasti siapakah yang patut terlibat, menerima bantuan, jumlah bantuan yang perlu disalurkan dan berapa banyak perlu disalurkan.

"Selain itu, kita juga dapat mengetahui apakah usaha penambahbaikan, corak perbelanjaan dan rasionalisasi akan datang yang perlu dilakukan dalam program yang akan diputuskan oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

Sejak dilancarkan pada 2 Januari 2024, seramai 8.45 juta orang telah mendaftar dalam sistem tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata dengan berbaki lima hari lagi sehingga tamat tempoh mendaftar sistem PADU pada 31 Mac ini, pihaknya telah membuka lebih 5,000 kaunter fizikal di seluruh negara untuk memudahkan golongan warga emas dan yang memerlukan membuat pendaftaran dan pengemaskinian.

Bagi golongan yang celik IT (teknologi maklumat), beliau menyarankan mereka untuk membuat pendaftaran secara atas talian tanpa perlu ke kaunter fizikal.

-- BERNAMA