SEPANG:Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 30.68 kilogram bernilai RM1.7 juta yang diseludup masuk ke negara ini selepas diikrarkan sebagai bahan makanan.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata dadah dalam bentuk serbuk itu diseludup masuk dari sebuah negara di Asia Selatan melalui pesawat kargo menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dengan disembunyikan di dalam kotak bijirin bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, dadah-dadah itu dipek dengan berat kira-kira 700 gram dan dimasukkan di dalam kotak bijirin, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam dua kotak besar berisi kotak-kotak bijirin.

Beliau berkata dua lelaki warga asing berumur 37 dan 45 tahun ditahan di kawasan komersial di Ampang bersama dua kotak besar dengan muatan dadah itu pada 8 Oktober.

"Di dalam dua kotak besar itu, terdapat 35 kotak bijirin yang diisi dadah manakala 18 kotak bijirin asal," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, dua warga asing itu, seorang daripadanya tidak mempunyai pasport, kini direman selama tujuh hari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati jika disabit bersalah, katanya.

Abdul Latif berkata bekalan dadah itu dipercayai dibawa masuk untuk diproses, dibungkus dan dijual di pasaran tempatan bagi keperluan 150,000 penagih.

-- BERNAMA