SERDANG :Tindakan licik sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik sebuah hotel serta 'berurusniaga' menerusi aplikasi WeChat dan MiChat akhirnya terbongkar apabila 17 individu termasuk lapan wanita dipercayai pelacur dan tiga pelanggan mereka ditahan dalam serbuan Ops Noda di Taman Equine, Seri Kembangan di sini, pada Jumaat.

Pelanggan yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu dikatakan perlu memberi kata laluan yang dikongsi menerusi aplikasi itu sebelum dibenarkan untuk mendapat layanan tersebut dengan kadar bayaran RM190 hingga RM220.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menyerbu hotel tersebut kira-kira 11.30 malam tadi selepas melakukan intipan selama tiga hari.





"Modus operandi sindiket berkenaan adalah berselindung di sebalik perkhidmatan hotel dan menyediakan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan menerusi promosi di aplikasi WeeChat dan MiChat.

“Apabila pelanggan tiba di hotel berkenaan, mereka akan berjumpa dengan dua lelaki penjaga premis dan perlu memberikan kata laluan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Tambah  Razali, mereka yang ditahan adalah dua lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis,  tujuh pelanggan dan lapan pelacur warga Indonesia dan Thailand yang berusia sekitar 25 hingga 52 tahun.

Katanya, ketika polis melakukan serbuan, wanita-wanita berkenaan berada bersama-sama pelanggan mereka di tingkat dua dan tiga hotel tersebut.

Razali menjelaskan, polis turut merampas 20 keping kondom, empat botol gel pelincir, lapan helai tuala, lapan gulungan tisu dan wang tunai sejumlah RM245.

Serbuan itu katanya, diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi.

"Kita melakukan serbuan selepas hasil intipan mendapati ada kegiatan pelacuran di premis berkenaan," katanya.

Beliau memberitahu, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 iaitu meanggar syarat pas lawatan sosial.

"Pada masa yang sama, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Perintah Kawalan Pergerakan)," tambahnya.