PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 50 penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menerusi modus operandi 'counter setting' atau 'laluan kaunter khas'.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 49 penguat kuasa terlibat adalah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang lagi merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, tangkapan seramai 12 orang pegawai JIM itu dibuat di Selangor, Negeri Sembilan (8), Kuala Lumpur (6) Pahang (6), Johor (4), Melaka (4), Bahagian Perisikan (9) serta seorang Sarjan wanita PDRM di Kuala Lumpur.

"Selain penguat kuasa di dua agensi ditahan dalam Op Pump, SPRM turut menahan 10 ejen sindiket berhubung kes 'counter setting' ini.

"Dua orang ejen ditahan di Kuala Lumpur, manakala lapan lagi yang merupakan orang awam atau keldai akaun ditahan di Pulau Pinang dan Lembah Klang," katanya ketika sidang akhbar pada Rabu.



Mengulas lanjut, Azam berkata, sebanyak 37 kertas siasatan dibuka berhubung kes berprofil tinggi ini.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada 95 individu.

Menerusi tangkapan dibuat, kata beliau, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah RM518,250 yang dijumpai daripada seorang pegawai imigresen kanan wanita Gred KP22 di Pahang.

Jelas beliau, wang tersebut diletakkan di dalam bagasi di bilik tidurnya.

Selain itu menurutnya, sejumlah wang tunai sebanyak RM248,443 dirampas daripada seorang pegawai lelaki imigresen Gred KP19 di Melaka dan duit itu dijumpai di bawah katil bilik tidur utamanya.

"Jumlah sitaan wang tunai berjumlah RM1.4 juta berjaya dirampas, selain SPRM turut menyita wang tunai AS$9,900 dan mata wang Baht 5,470," ujarnya.

Tambah Azam lagi, pihaknya turut merampas dan menyita sembilan buah kereta dan 13 unit motosikal yang dipercayai dibeli daripada wang rasuah.



Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut menyita 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai lebih RM200,000.

Jelasnya, dinar emas itu dirampas daripada pegawai Imigresen Kanan Gred KP22 di Negeri Sembilan.
"Lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket serta subang dirampas, selain lebih 12 jam tangan pelbagai jenama dan lebih 30 telefon pintar pelbagai jenama dan komputer riba dirampas," ujarnya.

Sementara itu Azam berkata, sebanyak 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dibekukan dan nilai pembekuan berjumlah RM3.6 juta.

Bagi proses pertuduhan, menurutnya, seorang ejen warga Myanmar telah dituduh pada 28 Ogos di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan empat individu yang juga ejen akan dituduh dalam masa terdekat, sementara baki suspek masih dalam siasatan. -- Sinar Harian