KUALA LUMPUR: Peringatan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar sidang Parlimen tidak boleh digunakan untuk mencetuskan ketidakstabilan perlu diterima secara terbuka semua ahli Parlimen dari setiap parti politik.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, sidang Parlimen tidak boleh digunakan untuk mencetuskan ketidakstabilan, selain semua pihak harus bersatu dan memikirkan negara ketika berdepan dengan krisis luar biasa melibatkan isu kesihatan, politik dan ekonomi yang sedang mencengkam.

"Tiada sesiapa pun akan menang jika kita asyik berpolitik dalam semua hal dan mahu terus berebut kuasa.

"Seruan Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jelas mahukan ahli-ahli politik meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan.

"Masa untuk berpolitik akan sampai apabila kita telah memenangi perang melawan pandemik ini.

"Pembangunan negara selepas pendemik adalah urusan serta tanggungjawab semua pihak dan pemimpin politik sudah semestinya bertanggungjawab mengaris jalan keluar dari era kesusahan rakyat ketika ini dengan pelan dan kerangka kerja yang luar biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Desakan buka Parlimen: Ahli politik tak boleh ada agenda tersembunyi - Hishammuddin

BACA: 
Sidang Parlimen: Kerajaan perlu sikap terbuka, beri ruang semak dan imbang

Terdahulu, Hishammuddin berkata, desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi dan seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

Dalam hantaran terbaharu di laman hishammuddin.com.my, beliau turut menggariskan tiga perkara utama yang perlu difokuskan sekiranya Parlimen dibuka semula.

Dalam pada itu kata Mohd Zaidi, mesej Hishammuddin itu jelas menunjukkan kuasa dan pandangan politik tidak boleh diketepikan oleh kerajaan.

"Cuma saat dan ketika itu yang belum sampai untuk membuka gelanggang bagi semua pencinta jawatan 'menyinsing lengan'," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md Alwi Che Ahmad menjelaskan sekarang adalah masa membina semula sebuah negara yang kukuh.

Tegasnya, semua pihak perlu bersama-sama membantu untuk keluar dari isu pandemik dan tugas satu pihak semata-mata.

"Kerajaan jangan ada sifat terlalu anti-pembangkang dan pembangkang juga jangan ada sifat hendak jatuhkan kerajaan pada setiap masa semasa pandemik ini.

"Rakyat sudah muak dengan pertelingkahan politik kepartian yang tiada penghujung. Masing-masing perlu ada tanggungjawab besar kepada kawasan masing-masing.

"Ahli Parlimen ini kerjanya memberi kestabilan kepada negara terutama pada masa susah kini," ujarnya.