Pihak polis akan mencari bukti untuk mengesahkan sesuatu berita itu palsu atau sebaliknya berdasarkan keterangan mana-mana badan atau individu yang membuat laporan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ia merupakan cara paling adil sekali gus mengelakkan sebarang tohmahan liar mengenai kesahihan sesuatu berita daripada masyarakat.

"Pemantauan perlu dibuat berkaitan berita palsu. Jadi apabila pemantauan dibuat, badan itu yang menilai berita itu palsu atau tidak.

"Apabila ia terbukti palsu, maka badan pemantauan ini perlu membuat laporan di mana pihak polis akan menjalankan siasatan. Kalau tidak kita tidak tahu apa yang palsu apa yang tidak palsu.

"Pihak polis akan menyiasat untuk mengesahkan berita itu palsu atau tidak, kalau palsu, orang yang membuat itu akan diambil tindakan di mahkamah," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

BACA: RUU Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan, hukuman penjara dikurangkan

BACA:
Pembangkang tidak bersungguh kekang penyebaran berita palsu - Pemuda MIC

Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan dengan pindaan selepas dibacakan kali ketiga di Dewan Rakyat pada Isnin.

Terdahulu, RUU tersebut diluluskan di peringkat dasar selepas mendapat undian majoriti ahli Parlimen.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undian belah bahagi yang menyaksikan 123 ahli Parlimen menyokong RUU itu berbanding 64 yang menolak.

Dalam pada itu kata Musa, RUU itu akan mengelakkan kekeliruan sekali gus mengelakkan situasi huru-hara kepada negara.

"Ada satu badan yang akan memantau dahulu setiap berita yang keluar itu tadi.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau ada polis yang mempunyai pasukan pemantau ini boleh membuat laporan.

"Orang awam yang tahu berita tidak betul ini juga boleh membuat laporan di mana polis akan buat siasatan," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bertujuan menjaga kepentingan awam serta melindungi rakyat daripada menjadi mangsa penyebaran berita palsu.