KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Doha, Qatar bagi menghadiri pengebumian Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik Hamas yang terbunuh pada Rabu.

Beliau akan diiringi Senator Datuk Seri Mujahid Yusof dan para pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

"Pada 2 Ogos, Shamsul Anuar dan delegasi akan menyertai solat jenazah di Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab di Doha selepas solat Jumaat.

"Jenazah Almarhum Ismail akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam di bandar Lusail," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Jasad Ismail Haniyeh disemadi di Qatar hari ini  

Tambahnya, Malaysia akan terus bersolidariti dengan ahli keluarga bekas Perdana Menteri Palestin yang terkorban dalam serangan di Tehran, Iran itu, kepimpinan dan rakyat Palestin.

"Penderitaan dan pengorbanan rakyat Palestin yang tidak berbelah bahagi adalah epitome kehidupan Allahyarham Ismail.

"Beliau telah memberikan keluarga, nyawa dan jiwanya dalam perjuangan untuk kebebasan, keamanan dan keadilan ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka," kata Wisma Putra.