Permainan dam datang daripada satu permainan lama yang dipanggil Alquerque dan asalnya dimainkan pada papan permainan lain.

Namun, sekitar abad ke-12, orang Perancis dikatakan golongan pertama menggunakan papan catur untuk memainkan Alquerque.

Ia merupakan permainan dam yang pertama permainan sebelum beberapa peraturan baharu ditambah dari masa ke semasa terhadap permainan tersebut.

Pengerusi Pertandingan Dam Terbuka Shah Alam, Osman Ismail berkata, atas sebab itu, Persatuan Catur dan Dam Shah Alam serta Kelab Warga Emas Shah Alam bersama mencari jaguh dalam permainan tersebut pada awal Mei depan.

"Objektifnya jelas, walaupun ia dilihat permainan lama dan mungkin sesetengah golongan menganggap ia mudah dimainkan, seorang juara dan akan ditabal pada hari berkenaan.

"Penyertaan terbuka kepada semua peringkat umur, kita akan mulakan pertandingan seawal jam 9 pagi sehingga 6 petang dan setiap peserta akan bermain sebanyak minimum enam pusingan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.


Permainan dam dikatakan sudah wujud di negara ini sejak sekian lama. -Gambar hiasan

Jelas Osman, sejarah permainan dam di negara ini membuktikan ia mendapat tempat di hati masyarakat sejak sekian lama.

"Sebenarnya corak permainan yang sama dapat dilihat dalam satu lagi permainan yang dinamakan Dammen oleh orang Belanda. Tidak mustahil jika dikatakan istilah dam itu diambil daripada perkataan 'dammen'.

"Tanah Melayu juga pernah dijajah orang Belanda pada tahun 1641. Ia membuktikan sejarah dam sudah lama bertapak di negara kita," ujarnya.

Katanya, pertandingan itu akan diadakan di Kelab Warga Emas Seksyen 24, Shah Alam dengan yuran penyertaan sebanyak RM30 namun penyertaannya terhad.

"Johan akan memenangi hadiah RM500, naib johan mendapat RM300,ketiga RM200 selain RM50 untuk pemenang tempat keempat sehingga ke 10," jelasnya.

Kata Osman lagi, sebarang pertanyaan boleh terus diajukan kepadanya di talian 012 3851993 atau ahli jawatankuasa pertandingan, Tunku Ahmad (019 3789178) dan Azham Hassan (012 2406758).