KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga tempatan yang ditahan atas cubaan menceroboh Istana Negara, di sini, Jumaat lepas, telah didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kedua-dua lelaki tersebut telah mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan tambahan turut dikenakan ke atas salah seorang mereka mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, namun suspek tidak mengaku bersalah.

"Sehingga kini, motif kedua-dua suspek membuat percubaan pencerobohan di Istana Negara itu, tidak dapat dipastikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan dua lelaki, masing-masing berusia 29 dan 37 tahun yang menaiki kereta Perodua Kembara, ditahan anggota polis bertugas di Pintu 3 Istana Negara, ketika cubaan mereka memasuki istana melalui pintu itu kira-kira 4.40 petang, Jumaat lepas, atas alasan untuk berjumpa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek turut menemukan sebilah parang.

Dalam perkembangan lain, Rusdi berkata polis selesai merakam percakapan dua saksi setakat ini, berhubung kes sampul surat yang diterima Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim mengandungi sekeping nota berbentuk amaran dan dua butir peluru.

Beliau berkata tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini dan kes ini masih berada di peringkat siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, kerana menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Semalam, pihaknya mengesahkan menerima laporan daripada Ahli Parlimen itu berhubung penemuan sampul surat berkenaan yang diterimanya Sabtu lepas.

-- BERNAMA