Kerajaan terbuka untuk mana-mana pihak membantu dalam menggerakkan Tabung Harapan Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia boleh digerakkan selagi ia mematuhi undang-undang.

Katanya, setiap rakyat di negara ini ada tempat dalam membantu Malaysia baharu termasuklah usaha membantu kerajaan.

“Selagi usaha itu baik, tiada penyelewengan, ada piawaian dipatuhi, semua orang boleh buat tabung seperti ini tapi kena ada piawaian.

“Tidak boleh macam saya tiba-tiba pergi dan minta, tak boleh sebab ada undang-undang. Selagi ia diikuti, semua dijemput untuk berbuat demikian.

“Seperti saya katakan sebelum ini, setiap orang ada tempat dalam membantu Malaysia baharu,” katanya selepas melancarkan Pertubuhan Cintai Malaysia di sini pada Ahad.

Pertubuhan Cintai Malaysia menjadi pertubuhan pertama yang menggerakkan tabung fizikal yang akan ditempatkan di semua restoran india muslim seluruh negara dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan Majlis Amanah Rakyat (Mara), beliau setuju dengan teguran yang dibuat Perdana Menteri.

"Memang ini isu yang begitu dekat di hati semua. Sebab itu, dalam bab ini kita perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

"Seperti yang kita janjikan sebelum pilihan raya tempoh hari, institusi dan prinsip perjuangan MARA akan
dikekalkan.

"Yang kira akan perbaiki ialah urus tadbir. Segala penyelewengan akan kita keluarkan tetapi institusi tersebut dan semangat asal perjuangannya itu tetap akan dikekalkan," katanya lagi.

Persatuan Cintai Malaysia ditubuhkan dengan matlamat untuk menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa.

Ia ditubuhkan pada 12 Julai 2018 yang bakal menjadi penggerak utama menerusi keahlian dalam Patron Malaysia.