KUALA LUMPUR: Setiap kementerian perlu mempunyai tindakan susulan yang serius untuk menjayakan agenda Malaysia Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik Dr Rozhan Othman menegaskan, kecekapan setiap komponen kerajaan adalah ruang vakum yang perlu diisi untuk memastikan transformasi dan reformasi institusi yang dijanjikan dapat dilaksana.

“Apabila jentera kerajaan tidak efisyen, ia menjadi satu liabiliti kepada rakyat dan kerajaan, ibarat kita bawa kereta, enjinnya sudah hebat tapi tak guna kalau tayarnya botak.

‘Follow-up’ dari segi implementasi transformasi sektor awam dan institusi itu mesti berlaku, dan para menteri perlu memenuhi jangkaan tersebut,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Jika tidak, jelasnya, para menteri akan dipandu oleh pegawai kerajaan yang berfikir dan bertindak dalam kerangka dan budaya kerja yang lama, akhirnya agenda reformasi yang dicanang akan terbabas.

Kata beliau, cabaran seterusnya untuk kerajaan hari ini adalah untuk menterjemahkan Malaysia Madani di peringkat kementerian dengan program reformasi yang jelas.

Setiap menteri perlu serius sahut agenda Madani - Rozhan Othman