ALOR SETAR: Sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil masa lebih setengah jam bagi memujuk seorang wanita warga asing membuka pintu bilik hotelnya ketika Ops Gegar di sebuah hotel di sini pada Ahad malam.

Wanita terbabit yang menawarkan khidmat seks berada bersama pelanggannya dalam bilik berkenaan ketika serbuan.

Dia pada awalnya sempat membuka sedikit pintu sebelum cepat-cepat mengunci semula selepas menyedari kehadiran pegawai imigresen.

Bagaimanapun setelah sedar tidak mempunyai jalan lain untuk melarikan diri, dia akhirnya mengalah dan membuka pintu dalam keadaan lengkap berpakaian.

Wanita warga Thailand terbabit turut menyembunyikan syabu dan peralatan untuk menghisap dadah sebelum berjaya dijumpai oleh pegawai yang menggeledah bilik terbabit.

Dia dipercayai mengambil bahan terlarang tersebut untuk menambah tenaga bagi menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Menurut Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Ketua Penolong Pengarah Rosmaliza Mohamed Rashid, seramai tujuh wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 8.30 malam.

"Kesemua mereka ditahan dalam serbuan di dua lokasi berbeza di sekitar bandar Alor Setar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, mereka terdiri daripada tiga wanita warga Vietnam dan empat wanita warga Thailand.

"Kesemua wanita berkenaan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Belantek, Sik manakala pelanggan dibawa ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian