Ringkasan AI
- Kes membabitkan lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram akan dibicarakan bersama pada 20 Januari 2025.
- Kesemua tertuduh didakwa atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dan menyimpan senjata api.
- Pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu, hari ini, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memohon agar kesemua kes dihadapi kelima-lima tertuduh perlu dibicarakan bersama kerana mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Kesemua tertuduh sebelum ini didakwa atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan Daish.
Mereka ialah bapa penyerang, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya, Rosna Jantan, 59; serta tiga adik-beradiknya, Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.
Dalam pada itu, Yazid memberitahu, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu, Faizal Rahman yang mewakili kesemua tertuduh memberitahu mahkamah, pihaknya belum memutuskan sekiranya mahu membantah permohonan pendakwaan atau sebaliknya, namun akan memfailkan afidavit jawapan selepas kesemua dokumen diterima.
Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan berkait kumpulan Daish.
Dia juga dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri bagi menjalankan aktiviti kumpulan pengganas Daish dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) akta sama.
Radin Imran dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) kanun sama, memberi sokongan kepada Daish dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.
Bagi tuduhan keempat, dia didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkait kumpulan Daish dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a).
Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa mengikut Seksyen sama kerana memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan Daish dan perlakuan pengganas.
Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah pula dituduh sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkait kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) serta Seksyen 130G(a) dan didakwa mengikut Seksyen 130M kanun sama.