KUALA LUMPUR: Penutupan pintu pagar balai polis di seluruh negara selepas jam 10 malam tidak akan menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat apabila ia dilaksanakan.


Ringkasan AI
  • Penutupan pintu pagar balai polis selepas jam 10 malam tidak akan menjejaskan perkhidmatan polis kepada masyarakat.
  • Langkah ini diambil sebagai kawalan susulan serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, dan hanya untuk balai yang berisiko terhadap ancaman.
  • Orang ramai masih boleh membuat laporan selepas waktu tersebut, dan polis bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan, penutupan itu adalah antara langkah kawalan susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu.

"Orang ramai masih boleh membuat laporan dan tiada sebarang halangan selepas waktu itu.

"Tentunya tidak munasabah apabila ditafsirkan 'tutup pagar' secara total sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam," kata KDN dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Penutupan pintu pagar menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Selasa secara prinsipnya merujuk kepada garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman sahaja.

Saifuddin menjawab soalan soalan asal Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperketat keselamatan di balai polis selepas insiden di Balai Polis Ulu Tiram.

Dalam serangan pada 2.45 pagi itu, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut.

Turut maut suspek berusia 21 tahun, manakala seorang anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak.